SELAMAT DATANG KE BLOG GALERIA KREATIF

Khamis, 20 Disember 2012

Pantun Kasih sayang

Saya dedikasikan khas untuk
 rakan-rakan PGSR Pendidikan Pemulihan Ambilan November 2008 IPG Perempuan Melayu Melaka.

Pantai Chendering pasirnya putih,
Ikan sembilang sengat berduri;
Apa dikesal orang tak kasih,
Sudah suratan hidup sendiri.

Pohon meranti dipanah petir,
Anak rusa bulunya basah;
Usah disesali suratan takdir,
Adat bertemu untuk berpisah.

Nyamannya hawa di Pulau Tioman,
Ikan siakap di celah batu;
Walau nyawa bercerai badan,
Kasihku tetap pada yang satu.

Makan tebu digigit kerengga,
Ambil angin ke tanah Jawa;
Kasih ibu membawa ke syurga,
Kasih bapa berkorban nyawa.

Dipetik mawar lalu digubah,
Tumbuh subur hiasan kota;
Kasih hamba takkan berubah,
Hanya maut memisahkan kita.

Sekawan burung terbang bebas,
Melepas penat hinggap di dahan;
Hati yang kasih jangan dilepas,
Kalau dilepas merana badan.

Indahnya senja dipuput bayu,
Deruan ombak menderu-deru;
Kalau rindu sebut namaku,
Dalam mimpi pasti bertemu.





SEMINAR KAJIAN TINDAKAN 2012





SELAMAT TINGGAL IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU MELAKA...
TERIMA KASIH ATAS SEGALA PENGALAMAN DAN SUKA DUKA YANG DIKONGSI BERSAMA SEPANJANG 4 TAHUN PENGAJIAN....




Selesai seminar kajian tindakan di Hang Tuah City Hotel bersama rakan PGSR
Pendidikan Pemulihan Ambilan November 2008 dan pensyarah yang dikasihi Puan Jaimah Abd Manaf
dan Mentor yang akan sentiasa dirindui Puan Zaleha Tambi Adam



Lega...selesai membentangkan laporan kajian tindakan......


Puan Zaleha yang sporting.....


Comelkan......


Hari terakhir bersama 19 Disember 2012....


Kalau ada jarum yang patah,
Jangan simpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan simpan di dalam hati.

Khamis, 13 Disember 2012

Alhamdulillah.Pada tarikh 11 Disember 2012, saya dan rakan-rakan PGSR Unit Pendidikan Pemulihan Ambilan Nivember 2008seramai 24 orang telah selesai membentangkan kajian tindakan yang telah kami jalankan dalam Seminar yang diadakan di Hang Tuah City Hotel dari jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 6 petang. Kehadiran pensyarah-pensyarah yang sangat dihormati dan dikasihi yang sudi bersama memeriahkan majlis jamuan akhir yang kami adakan sangat-sangat dihargai.  Betapa terharunya kami dengan kehadiran para pensyarah yang telah memberikan ilmu yang sangat berguna sepanjang 4 tahun kami di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka. Hanya menunggu tarikh 17 hingga 19 Disember bagi menghadapi peperiksaan akhir..

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.. sesungguhnya dengan Rahmat dan HidayahMu, hambamu ini berjaya melalui semua ini. 

Maka setelah itu selesailah perjuangan kami dalam program PGSR dan semoga kami akan dapat bersama kembali pada saat gemilang untuk menerima segulung ijazah yang memberi lebih daripada seribu makna, yang membuktikan bahawa semangat perjuangan kami yang kental. Melalui berbagai cabaran dan dugaan, suka duka, tawa hiba, air mata dan debaran serta berbagai perasaan. 

Buat diri saya sendiri, sesungguhnya inilah saat yang saya tunggu-tunggu. Setelah 4 tahun bertungkus -lumus, saya ingin merehatkan diri buat beberapa ketika. Memberi sepenuh perhatian kepada tanggungjawab rutin seharian yang selama ini sering terabai. 

Buat rakan-rakan PGSR Unit Pendidikan Pemulihan, terima kasih atas segala bantuan dan perkongsian ilmu ketika pengajian. Segala kebaikan budi kalian akan saya kenang dan moga dibalas oleh Allah dengan kebaikan yang berlipat ganda. 

23 org rakan yang sangat saya kasihi dan akan saya rindui, 

KU yang dedikasi serta pembantu setia ...kak Azimah, Odah, Hanisah,

kekanda kesayangan saya kak Zaharah, 

Amoi  yang  manis ...Tham, Lim, 

4 jejaka Malaya ...Roslee, Roslan, Din, Majid,

jelitawan anggun bergaya....Len, Azlam, Rosminah, Ruziah,
Sufi, Noraya, Rahmah, Ruhaya, Ani

Adik comel Suhaila dan Norhaya , Milah dan Rosnah

Moga ada kesempatan untuk bertemu lagi... salam kasih sayang


Khamis, 11 Oktober 2012

Imbuhan Pinjaman



Imbuhan pinjaman diserapkan ke dalam Bahasa Melayu melalui proses peminjaman. Imbuhan digunakan untuk membentuk kata nama. Imbuhan ditambah sama ada di awal atau akhir kata.


Imbuhan Pinjaman

Maksud
Contoh
juru-
orang yang mahir dalam sesuatu bidang
jurutera, juruaudit, juruterbang, jurucakap


maha-
agung, paling, tinggi

maharaja, mahaguru, maharani, mahasiswa


tata-
sesuatu susunan, peraturan atau sistem
tatatertib, tatabahasa, tatasusila



pra-
sebelum
prasekolah, prasejarah,prakata,prauniversiti, prasangka


pro-
memihak kepada
prokerajaan, prodemokrasi

anti-
menentang
antidadah, antisocial, antikerajaan

eka-
satu
ekabahasa, ekawarna, ekasuku

dwi-
dua
dwifungsi, dwibudaya, dwibahasa

tri-
tiga
tribunal, tribahasa, tribulan

-wan
Lelaki yang ahli, pemilik sesuatu benda, sifat atau pelaku sesuatu perbuatan

sasterawan, cendekiawan, usahawan, sukarelawan, negarawan

-wati
Perempuan yang ahli dalam sesuatu bidang

olahragawati, seniwati, peragawati

-man
Orang yang ahli, pemilik sesuatu sifat

budiman, seniman

-is
Pelaku/orang
saintis, cerpenis, novelis, kartunis

-ita
Pelaku perempuan
biduanita


Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin

Alhamdulillah, kita telah berada di pertengahan Syawal Sambutan Hari Raya masih meriah lagi di sana-sini. Saya tidak punya kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya lewat blog GaleriaKreatif ini disebabkan berbagai kekangan antara kerjaya , tugas seharian sebagai ibu dan juga menyiapkan kerja kursus dan kajian semester akhir saya. Oleh itu saya mengambil peluang ini bersama rakan Norzaharah Yunus dan seisi keluarga kami, mengucapkan salam Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua ahli keluarga, kenalan, sahabat handai, saudara-mara dan murid-murid yang kami kasihi. Semoga kehidupan kita sentiasa diberkati Allah Yang Maha Esa.

Berbagai program sambutan hari raya masih diteruskan. Di Batu Pahat, Johor tempat saya tinggal ini sangat aktif dengan program marhaban. Samaada oleh kumpulan golongan remaja, kaum ibu,dan kaum bapa. Di mana sahaja kawasan kediaman akan dimeriahkan dengan marhaban sambil bersalawat, saling mengenali jiran tetangga, bermaaf-maafan dan sudah tentu ada hidangan yang disediakan. Juga tidak lupa duit raya untuk kanak-kanak. Sangat indah suasana begini, melihat kanak-kanak kecil berpakaian cantik,lengkap bersongkok dan bersampin. Malah bayi sekalipun, lena dalam dakapan ibu dibawa bersama berhari raya ke rumah kenalan dan jiran tetangga. Indahnya ukhuwah yang diterapkan.

POLISEMI

As salam..sudah beberapa lama saya tidak berkesempatan mengemas kini blog GaleriaKreatif ini..kesibukan dengan tugas-tugas di sekolah, kajian tindakan semester akhir, kerja kursus yang perlu dihantar tepat masanya,Program INTERNSHIP di sekolah, Kursus KSSR dan berbagai-bagai lagi perkara yang perlu diberikan perhatian. Mengalahkan 'Mak Menteri' sibuknya saya...Akhirnya Oktober menjelma di depan mata. Bertambahlah kesibukan saya. Murid-murid akan menghadapi peperiksaan Akhir Tahun pada 16-19 Oktober ini. Semoga semuanya telah bersedia untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dan terbaik. Hari ini saya nak berkongsi tentang beberapa tajuk dalam Bahasa Melayu yang wajar diberikan perhatian. Hmm..murid-murid 4 CERDIK tentunya dah arif tentang tajuk ini.

1. POLISEMI...atau kata banyak makna.
Kata

Makna
Ayat Contoh
akal
1. daya fikir


2. ikhtiar

1. Hanya akal yang membezakan   manusia dengan haiwan.

2. Haris mencari akal untuk keluar dari rumah itu.


alamat
1. tanda


2. keterangan tentang tempat tinggal seseorang

1. Mimpi yang dialaminya memberi alamat yang tidak baik.

2. Tolong catatkan alamat ini.

angkat
1. menaikkan sesuatu ke atas

2. menjadikan seseorang sebagai anak sendiri
1. Sila angkat kotak ini ke tingkat atas.

2. Nadia menjadi anak angkat Puan Salwa sejak kecil.


baik
1. sembuh atau pulih


2. berkelakuan tidak jahat


3. hubungan yang akrab


4. keadaan

5. sihat, tidak sakit
1. Dia baru sahaja baik daripada demam.

2. Orang yang baik akan disukai oleh orang lain.

3. Hubungan mereka baik biarpun sudah bercerai.

4. Televisyen lama itu masih baik.

5. Maisara mendoakan agar rakannya itu cepat baik dari sakit.


bekas
1. pernah menjadi

2. tempat menyimpan sesuatu

3. kesan atau tanda
1. Dia bekas guru sandaran.

2. Ibu memasukkan biskut ke dalam bekas.

3. Terdapat bekas cap jari pada pintu.


hangat
1. panas


2. masih baharu


3. meriah
1. Azman terhirup minuman yang hangat itu.

2. Berita penemuan vaksin itu masih hangat.

3. Siri drama itu mendapat sambutan hangat.





 Cuba cari beberapa  makna bagi perkataan di bawah ini dan bina ayat . Selamat mencuba. Jika keliru bertanya dengan guru ya.. Orang yang rajin bertanya tidak akan tersesat jalan..

1. cerah
2. dalam
3. halaman
4. haus
5. jatuh
6. lanjut
7. mata
8. pasang
9. tawar
10.duduk













Sabtu, 4 Ogos 2012

Mengubah Ayat Aktif Menjadi Ayat Pasif

As-salam. Selamat berpuasa hari ke 15. Semoga sentiasa mendapat rahmat dan hidayah Allah di sepanjang perjalanan hidup kita. Mari kita belajar bagaimana menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif.

Sering kali, pelajar melakukan kesilapan apabila menukar ayat aktif transitif kepada ayat pasif apabila melibatkan ganti nama diri pertama dan kedua.
Antara ganti nama diri pertama ialah saya, hamba, aku, kami dan kita manakala ganti nama diri kedua ialah awak, engkau, kamu, anda, dan tuan.

Dalam ayat pasif melibatkan ganti nama diri pertama dan kedua, perlu diingat bahawa:
1. Tidak boleh menggunakan kata “oleh”,
2. Kata bantu seperti akan, sedang dsb. mesti hadir sebelum ganti nama diri.
3. Ganti nama diri : contohnya, saya, anda mesti diikuti oleh kata kerja : contohnya, tulis, baca , sepak.
4. Kata kerja mestilah menjadi kata dasar seperti tulis bukannya menulis, baca bukannya membaca.

Contoh 1
Ayat Aktif Transitif : Saya akan menulis rencana tentang isu vandalisme.
Ayat Pasif : Rencana tentang isu vandalisme akan saya tulis.

Contoh 2
Ayat Aktif Transitif : Anda telah menutup botol itu.
Ayat Pasif : Botol itu telah anda tutup.

Cuba anda tukarkan ayat aktif transitif di bawah dan seterusnya betulkan contoh-contoh ayat pasif yang diberikan.
Sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan, awak telah memanggil Amran ke dalam kelas.

Amran telah dipanggil oleh awak ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.
(Ayat pasif ini salah kerana oleh diikuti oleh ganti nama diri pertama atau kedua).

Amran, awak telah panggil ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.
(Ayat pasif ini salah kerana ganti nama diri pertama/kedua mestilah diikuti oleh kata kerja).

Yang betul ialah :
Amran telah awak panggil ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.

Ahad, 29 Julai 2012

Latihan Penulisan Bahagian A (power point)

Latihan Penulisan Bahagian B (Power Point)

Penulisan Bahagian C (power point)

Penulisan Bahagian B (power Point)

Terima Kasih..........


Alhamdulillah, hari ini sudah memasuki hari ke 9 umat Islam berpuasa. Insya-Allah, ada berbaki 21 hari lagi. Mudah-mudahan kita diberikan taufiq dan hidayah Allah untuk meneruskan segala amal kebaikan yang diberikan pahala berlipat kali ganda di bulan yang penuh barakah ini

.

Di pagi yang mendamaikan ini, saya ingin fokuskan kepada ucapan terima kasih atau 'thank you' yang perlu sering kita ucapkan sebagai menghargai jasa dan budi sesiapa sahaja kepada kita. Hanya dua patah perkataan sahaja yang kadang kala sukar kita nak melafazkannya.

Terima kasih boleh diucapkan dalam pelbagai cara. Ucapan lisan paling mudah. Juga boleh disampaikan melalui sms, laman sosial,dan e-mel. Boleh juga disampaikan dalam bahasa isyarat dengan menggunakan bahasa badan atau isyarat tangan contohnya mengangkat tangan sebagai ucapan terima kasih kepada pemandu kenderaan lain yang memberikan laluan kepada kita ketika di jalan raya. Ucapkanlah terima kasih kerana kita menghargai jasa baik seseorang kepada kita terutama ibu bapa dan guru-guru yang mendidik kita. Tanpa mereka siapalah kita.

Keluarga yang sentiasa mengamalkan ucapan terima kasih sesama mereka akan membawa nilai tersebut ke dalam masyarakat. Ucapan terima kasih akan memberikan kebahagiaan dan keceriaan kepada penerimanya. Ia mempunyai kuasa untuk merapatkan lagi tali silaturrahim sesama insan.

Sedangkan, ada hadis yang menekankan mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah berbudi kepada kita walaupun Islam menuntut setiap orang Islam melakukan amal kebaikan dengan ikhlas.


Dalam satu hadis riwayat Imam Tirmizi ada menyatakan:

Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia maka dia tidak berterima kasih kepada Allah.


Hadis ini, menurut pandangan Imam Tirmizi ialah hasan sahih. Maksudnya hadis ini terpakai dan kita perlu mengamalkannya.

Kenapa pentingnya ucapan ini? Fitrah manusia suka kepada penghargaan dari orang lain.. bagaimana perasaan anda apabila ada insan yang mengucapkan terima kasih? Tentunya anda terasa gembira dengan ucapan itu…

Justeru itu, ayuh kita perbaiki diri kita. Belajar untuk berterima kasih kepada orang yang berbudi kepada kita. Terima kasih.

Bahasa Baku




BAHASA BAKU

Definisi

Bahasa baku ialah variasi bahasa yang digunakan untuk berhubung apabila penutur daripada berbagai dialek berkumpul.

Menurut Kamus Dewan 1989, perkataan ‘baku’ ini membawa pengertian ‘ yang diterima umum sebagai betul dan sah…dan dapat dijadikan asas perbandingan’.

Setiap penutur akan berusaha menggugurkan ciri-ciri kedaerahan atau ciri-ciri khusus yang ada pada dialek masing-masing.

Mereka menggunakan bentuk bahasa yang bersifat umum supaya masing-masing dapat memahami apa-apa yang dituturkan.

Di Malaysia, variasi Bahasa Melayu baku digunakan sebagai tujuan untuk berkomunikasi.

Bahasa baku dikaitkan dengan bahasa yang digunakan oleh golongan berpendidikan dalam masyarakat.

Bahasa baku dikatakan mengalami proses kecendekiaan dan pengekodan.

Proses pengekodan dan pembakuan bahasa ini meliputi seluruh aspek bahasa tersebut seperti perkamusan, peristilahan, tata bahasa, sebutan dan laras bahasa.


Fungsi bahasa baku adalah sebagai
i. Unsur penyatu iaitu digunakan oleh orang-orang dari pelbagai daerah atau loghat

ii. Unsur pemisah iaitu memisahkan bentuk bahasa baku itu daripada loghat-loghat lain dalam bahasa itu; dan

iii. Pemberi prestij iaitu digunakan oleh segolongan orang dalam suasana tertentu, biasanya dalam urusan rasmi umpamanya laporan, surat, surat pekeliling, borang, radio, televisyen, dan sebagainya.

Kebaikan bahasa baku

i. Untuk mengelakkan pelbagai percanggahan dalam tafsiran antara pelbagai dialek di Malaysia. Contohnya dialek masyarakat di utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang berbeza dengan masyarakat di bahagian selatan seperti Johor. Dengan adanya bahasa baku ini dapat diseragamkan agar tiada maksud yang berlainan.

ii. Mudah dipelajari kerana sebutan mengikut ejaan. Bahasa baku sepatutnya mudah dipelajari kerana apa ynag ditulis menggambarkan apa yang sepatutnya disebut. Berbeza dengan jika tidak menyebut dalam bahasa baku iaitu apa yang disebut tidak sama dengan apa yang ditulis. Contohnya:
perkataan jaga ditulis sebagai jage

iii. Merupakan bahasa yang formal dan bersopan dan digunakan dalam urusan rasmi seperti dalam surat pekeliling, laporan , penulisan berita dan sebagainya.

iv. Digunakan dalam urusan berkomunikasi iaitu mudah dipelajari oleh kaum-kaum lain kerana sebutannya adalah mengikut ejaan.

v. Kejelasan makna, tiada singkatan, lengkap dan tepat.

Contoh: Saya hendak pergi ke Johor Bahru.
Dalam sebutan bahasa pasar – Saya nak gi Johor Bahru.

vi. Memupuk semangat perpaduan antara semua kaum yang terdapat di Malaysia kerana setiap ahli masyarakat menggunakan bahasa yang sama dan memahaminya dengan jelas dan tepat.



Kelemahan bahasa baku

i. Dipengaruhi oleh bahasa ibunda setiap kaum yang terdapat di Malaysia contohnya kaum China, India, Kadazan dan lain-lain.

ii. Aspek persekitaran – masih dipengaruhi oleh dialek kedaerahan masing-masing contohnya dialek Kelantan, Pahang, Kedah dan sebagainya.

ii. Kelemahan dasar kerajaan yang tidak konsisten iaitu tidak memberi perhatian serius dalam penggunaan bahasa baku.

iii. Tidak diterima sebahagian masyarakat kerana dianggap sebagai asing.

iv. Kurang sambutan daripada pemimpin kerajaan.

Jenis-Jenis Ayat Dalam Bahasa Melayu

JENIS AYAT
Ayat dalam Bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis yang utama iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

1. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu penyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini disebut juga ayat berita atau ayat keterangan.
Contoh ayat penyata:
i. Nadia jurutaip.
ii. Dia wartawan.
iii. Ashila sedang tidur.

2. Ayat Tanya pula adalah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Dengan berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu, ayat Tanya dapat digolongkan kepada dua jenis , iaitu:
i. Ayat Tanya tanpa kata Tanya.
ii. Ayat Tanya dengan unsur kata Tanya.

i. Ayat Tanya tanpa kata Tanya
Ayat Tanya tanpa kata Tanya ialah ayat yang lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada Tanya ini dilambangkan oleh tanda soal (?).
Contohnya:
i. Encik Lokman kaunselor di sekolah itu?
ii. Adik masih menangis?
iii. Mimi menjadi pragawati?

Ayat Tanya jenis ini juga boleh disertai dengan partikel –kah, yang diletakkan pada unsur yang dijadikan fokus atau judul ayat.
Contoh ayat:
i. Dia ke sekolah?
Dia ke sekolahkah?

ii. Minggu lalu kamu ke Kedah?
Minggu lalu kamu ke Kedahkah?

iii. Mereka berlepas pagi tadi?
Mereka berlepas pagi tadikah?

ii. Ayat Tanya dengan unsur Tanya.
Ayat Tanya dengan unsur Tanya ialah ayat yang mengandungi unsur seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila. Ayat-ayat jenis ini terdiri daripada tiga golongan, iaitu:
a) Ayat Tanya dengan kata Tanya.
b) Ayat Tanya dengan kata ganti nama diri.
c) Ayat Tanya dengan frasa sendi nama Tanya.

a) Ayat Tanya dengan kata Tanya
Ayat Tanya dengan kata Tanya ialah ayat yang mengandungi kata Tanya seperti siapa, berapa, bagaimana, bila, mengapa dan kenapa.
Contoh ayat seperti berikut:
i. Harga barang ini berapa?
ii. Hari perkahwinannya bila?
iii. Awak datang lambat kenapa?

b) Ayat Tanya dengan kata ganti nama diri Tanya
Ayat jenis ini terdiri daripada ayat yang mengandungi kata ganti nama Tanya seperti apa, siapa, dan mana.
i. Apakah benda itu?
ii. Siapakah gurunya?
iii. Manakah adik awak?

c) Ayat Tanya dengan frasa sendi nama Tanya
Ayat jenis ini terdiri daripada ayat yang didahului oleh frasa sendi nama Tanya seperti di mana, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai bila dan sebagainya.
Contoh ayat:
i. Tuan tinggal di mana?
ii. Adik hendak ke mana?
iii. Anak Puan Anita berkahwin dengan siapa?

3. Manakala ayat perintah pula ialah ayat yang digunakan dengan tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti kamu, awak, engkau dan sebagainya yang biasanya digugurkan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis berikut:
i. Ayat suruhan
ii. Ayat larangan
iii. Ayat silaan
iv. Ayat permintaan

i) Ayat suruhan
Ayat suruhan ialah ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Dalam ayat suruhan, subjek ialah kata ganti nama orang kedua seperti awak, engkau, kamu dan selainnya yang biasanya digugurkan. Walau bagaimanapun, kerana tujuan penegasan, subjek boleh juga dikekalkan. Contoh ayat seperti berikut:
a) Keluar dari bilik ini!
b) Pergi dari sini!
c) Awak siapkan kerja itu sekarang.

ii. Ayat larangan
Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan mnegah seseorang melakukan sesuatu.
Contohnya:
a) Jangan ambil harta orang.
b) Kamu jangan beritahu dia.
c) Usah dikenangkan lagi perkara yang lalu.

iii. Ayat silaan
Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemout atau mempersilakan seseorang. Contoh ayat seperti berikut:
a) Sila datang ke rumah saya.
b) Sila serahkan surat ini ke pejabat.
c) Jemput masuk.

iv. Ayat permintaan
Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong, dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan seperti yang terdapat dalam contoh berikut:
a) Minta tuan-tuan jelaskan yuran persatuan.
b) Minta tuan benarkan kami masuk.
c) Tolong tutup tingkap itu.

4. Ayat yang seterusnya ialah ayat seruan.
Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarakn dalam tulisan dengan tanda seru (!) yang diletak di akhir ayat. Kata seru yang biasanya digunakan ialah oh, wah, amboi, cis, nah, syabas dan sebagainya. Contohnya:
i. Anakku!
ii. Amboi, garangnya!
iii. Wah, besarnya rumah awak!

Jumaat, 20 Julai 2012

Fadhilat Berpuasa di Bulan Ramadhan






1. Pengampunan Dosa

Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu dari Nabi Shalallahu 'alaihi wasalam bersabda (yang erti nya): “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ihtisab maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/99), Muslim (759))


Maksud “Penuh iman dan Ihtisab” di sini adalah membenarkan wajibnya puasa, mengharapkan pahalanya, hatinya senang dalam mengamalkan, tidak membencinya, dan tidak merasa berat dalam mengamalkannya.


Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu juga Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam pernah bersabda (yang ertinya):

“Solat yang lima waktu, Juma'at ke Juma'at, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa yang terjadi di antara senggang waktu tersebut jika menjauhi dosa besar”. (Hadis Riwayat Muslim (233))

Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu juga, bahawa Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa salam pernah naik mimbar kemudian berkata: “Amin, Amin, Amin”, ditanyakan kepadanya:”Ya Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam: Engkau naik mimbar kemudian mengucapkan: Amin, Amin, Amin? Beliau bersabda:

“Sesungguhnya Jibril ‘alaihissalam datang kepadaku, dia berkata: “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya maka akan masuk neraka dan akan Allah jauhkan dia, katakan: “Amin”, maka akupun mengucapkan : Amin……”.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah (3/192), Ahmad (2/246 dan 254) dan al-Baihaqi (4/204) dari jalan Abu Hurairah. Hadis ini sahih, asalnya terdapat dalam “Sahih Muslim” (4/1978))

2. Dikabulkannya do'a dan pembebasan dari api neraka

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): “Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo'a akan dikabulkan do'anya.” (Hadis Riwayat al-Bazzar (3142), Ahmad (2/254) dari jalan A'mas, dari Abu Shalih dari Jabir, diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1643) darinya dengan ringkas dari jalan lain, hadits sahih. Do'a yang dikabulkan itu adalah ketika berbuka - lihat “Misbahuh Azzujajah” (no. 604) karya al-Bushiri)

3. Orang yang berpuasa termasuk shidiqin dan syuhada

Dari Amr bin Murrah al-Juhani Radhiallahu 'anhu berkata: Datang seorang lelaki kepada Nabi Shalallahu 'alaihi wasalam kemudian berkata: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang hak untuk diibadahi kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah Shalallahualaihi wasalam, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku melaksanakan puasa Ramadhan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk orang yang manakah aku? Beliau menjawab: “Termasuk dari shidiqin dan syuhada”. (Hadis Riwayat Ibnu Hibban (no. 11 di dalam Zawaidnya) sanadnya sahih)

Rabu, 18 Julai 2012

Makanan Seimbang







Makanan seimbang sangat penting untuk pembesaran dan kesihatan tubuh badan terutama kanak-kanak yang sedang membesar. Kanak-kanak amat sukakan makanan segera yang sekarang ini sudah menjadi satu trend kehidupan di zaman serba moden ini. Kesibukan ibu bapa bekerja sehingga tidak sempat menyediakan dan memasak makanan di rumah, menjadikan 'snack' sebagai makanan kegemaran anak-anak.

 Burger, kentang goreng, gula-gula, minuman berkarbonat dan pelbagai makanan ringan lain memang amat digemari kanak-kanak. Tapi tahukan kamu bahawa tidak semua makanan ini baik untuk kesihatan? Kanak-kanak mesti dididik untuk mengelakkan makanan yang mengandungi bahan pengawet. Sebagai ibu bapa, diidklah anak-anak agar memilih makanan yang tinggi fiber, rendah lemak atau makanan yang lebih sihat seperti mengandungi kalsium, zat besi serta bervitamin dan mineral.

Sebenarnya ada banyak makanan berkhasiat untuk anak-anak. Contohnya, susu yang merupakan sumber vitamin D dan protein yang baik untuk kanak-kanak. Cuba anak-anak minum susu dua hingga empat gelas sehari. Tentu badan akan sihat dan pembesaran berlaku dengan sempurna.

Yogurt juga kaya dengan kalsium. Pilih yogurt yang kurang kandungan gula, rendah lemak dan berkultur.

Bagaimana dengan buah-buahan? Buah-buahan sangat baik untuk kesihatan badan. Ia mengandungi vitamin, fiber dan rendah kalori. Sungguhpun begitu, ramai ibu bapa tidak menyediakannya di rumah sebagai makanan ringan yang berkhasiat untuk anak-anak. Sebaliknya ramai yang lebih gemar menyimpan kerepek, keropok, biskut lemak dan pelbagai makanan ringan lain yang tidak berkhasiat. Ayuh, mulai dari sekarang, kita penuhkan peti sejuk di rumah dengan buah-buahan.


Kebanyakan kanak-kanak gemar makan roti. Jadi, ibu bapa perlu pastikan mereka menikmatinya dengan sesuatu yang enak dan berkhasiat. Contohnya, mentega kacang, berbanding mentega, krim, keju atau makanan lain yang kaya dengan lemak. Mentega kacang tinggi juga tinggi kandungan lemaknya, tetapi kebanyakan lemak tersebut adalah lemak mono dan poli tak tepu, yang lebih sihat berbanding lemak tepu.Kanak-kanak juga suka sanwic. Ibu-ibu, sediakan sanwic tuna beserta salad dan tomato segar ya.. Tuna kaya dengan protein, omega-3 serta vitamin dan mineral. Jika menggunakan mayonis, pilihlah yang rendah lemak, manakala roti pula yang berbijirin. 
Untuk sarapan pagi, bijirin yang pelbagai perisa seperti coklat, madu jarang ditolak kanak-kanak. Ibu bapa hanya perlu menyediakan bijirin yang kurang manis, diperkuat dengan kalsium dan berfiber. Ramai kanak-kanak tidak suka makan sayur. Tetapi ada sayur.sayuran yang lebih digemari oleh mereka. Contohnya, jagung, karot dan kekacang.
 Kanak-kanak juga sukakan biskut. Peranan ibu bapa dalam memastikan mereka makan makanan yang lebih sihat ialah menyediakan biskut yang kurang manis dan lemak. Pilihlah yang berbijirin seperti biskut oat, biji bunga matahari yang kaya dengan fiber dan zat-zat lain. Itu serba sedikit panduan untuk ibu bapa yang berkerjaya seperti saya..Kesihatan anak-anak perlu diutamakan. Semoga mereka membesar sihat dan kuat.




Selasa, 17 Julai 2012

Muridku Sayang, Muridku Cemerlang


Murid tahun 4 Cerdik seramai 42 orang memang banyak ragamnya..Setiap hari bertemu mereka, tak pernah cikgu menjadi pendiam... Ada sahaja gelagat mereka yang membuat cikgu tertawa dan kadang jadi geram..ada masa naik darah... Tapi cikgu tetap sabar... Sentiasa aktif dalam aktiviti perbincangan. Setiap murid  mahu menunjukkan bakat tanpa perasaan segan atau takut jika salah.. Cikgu selalu mengingatkan, tidak mengapa jika jawaban yang diberi salah. Kita belajar dari kesilapan yang kita lakukan..Hmm..tapi ada masa yang 'kritikal'... cikgu terpaksa berikan sedikit dendaan, berupa 'sentuhan-sentuhan sayang'... semua itu berupa peringatan agar latihan dan kerja rumah yang diberi mesti disiapkan. Murid-murid 4 Cerdik, kamu semua sangat cikgu sayangi seperti anak sendiri. Kejayaan kamu dalam pelajaran adalah kegembiraan cikgu yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Moga semuanya akan menjadi pelajar yang cemerlang di dunia dan akhirat. Selamat belajar.

Sabtu, 14 Julai 2012

Doa



Apabila kita berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu memperolehinya kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. 

Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t,  menadah tangan ke langit sambil air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya. 

Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya. Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.





Dan Allah berkuasa melakukan apa yang di kehendaki-Nya. ( Ayat 27 : Surah Ibrahim )

Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. ( Ayat 116 : Surah al-Baqarah )
Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. ( Ayat 23 : Surah al-Anbiyaa’ )

Cikgu sertakan doa untuk menjadi pandai yang perlu dihafal oleh murid-murid. Kita berdoa kepada Allah di samping berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Tiada yang mustahil kan?



Jumaat, 13 Julai 2012

Sentuhan Kalbu




Sejenak kita renungkan dalam diri kita. Pejamkan mata kita. Lihatlah pada diri masing-masing.
Pohon hati apakah yang telah kita tumbuhkan dalam dunia hati kita?

Bagaimanakah selama ini kita menjalani kehidupan kita?
Sudahkan selama ini hidup kita menjadikan kehidupan kita benar-benar mengabdikan diri kepada Allah?
Sudahkan kita ikhlaskan diri kepada Allah?
Tepuklah akal kita supaya ia berfikir untuk diri kita...

Ketika kita pergi ke sekolah mahupun universiti, adakah kita telah mendidik pohon hati kita bahawa ijazah yang bakal dimiliki itu bukan untuk kita menjulang gelaran tetapi sesungguhnya demi pengabdian kita kepada Allah swt?

Cubalah kita bertanya secara jujur pada diri kita sendiri. Mari kita lihat:
Kemana selama ini, umur kita telah habiskan?
Kemana selama ini, kehidupan kita selama ini berikan?

Lihatlah diri kita ketika musibah itu datang. Betapa sering kita keluh kesal ? Malah, kita menyalahkan pula Allah kerana menurunkan dugaan sedemikian rupa. Kita tak dapat menerima takdir Allah..
Kita menyesali semua yang ada dalam hidup kita, seolah kita tidak pernah rasa puas dengan segala apa yang kita ada..

Kita tak menyedari sebenarnya hati kita yang sedang jauh dari Allah.
Hati kita yang saat itu tak mampu merasakan bahwa Allah itu dekat dengan kehidupan kita.
Bahkan akal keimanan kita dalam kehidupan kita sudah kering dan mati.

Dan kitalah orang muda yang lupa kehidupan ini untuk apa...

Marilah kita ucapkan istiqhfar kepada Allah.
Mari kita memohon ampun kepada Allah...
Astaghfirullah

Para pembaca  yang dirahmati Allah...

Mungkin ketika kehidupan kita kering, 
Kita sedar bahawa kebahagian material dan duniawi itu semua hanya sesaat.
dan kebahagiaan sebenar-benarnya adalah ketika kita menanam akar kecintaan kita kepada Allah,
yang tumbuh masuk ke dasar hati.
yang kemudian yang tumbuh tinggi menjadi pohon kehidupan,
yang menghasilkan buah kebahagian yang selamanya kerana, 
kita merasakan Allah bersama kita,
Allah menaungi kehidupan kita,
Allah menjaga dirimu setiap saat meskipun ujian datang silih berganti,
maka,
mudahan-mudahan kita semua sama-sama dapat menyedari dan menyakini,
jadikan Allah cita-cita hidup kita yang paling utama.,
nescaya Allah menjaga kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

"Teguhkan bahteramu kerana lautan yang kamu lalui itu terlalu dalam untuk diharungi,
Banyakkanlah bekalan kerana perjalanan kita cukup jauh untuk dijalani,
Ringankanlah belakangmu kerana yang didaki itu terlalu curam,
Ikhlaskanlah segala perbuatanmu kerana yang menilai kita amat mengetahui dan maha melihat apa yang kita lakukan,"

Oleh itu, segala yang kita lahirkan dari hati kita, dari perbuatan kita,
lakukankanlah kerana Allah swt,
bukan untuk kemegahan dan keagungan yang kita cari,
tetapi semata-mata kepada Allah,
kerana keagungan kita akan ada bila Allah redha kepada kita.

Jangan kita lupa, bahawa dalam kehidupan kita ini,
ada satu pohon hati yang perlu kita bangunkan,
tumbangnya pohon itu,
maka ranaplah kehidupan kita..
Mudah-mudahan, kita diredhai Allah,
semoga Allah mengampuni kita semua..amin..