Makanan seimbang sangat penting untuk pembesaran dan kesihatan tubuh badan terutama kanak-kanak yang sedang membesar. Kanak-kanak amat sukakan makanan segera yang sekarang ini sudah menjadi satu trend kehidupan di zaman serba moden ini. Kesibukan ibu bapa bekerja sehingga tidak sempat menyediakan dan memasak makanan di rumah, menjadikan 'snack' sebagai makanan kegemaran anak-anak.
Burger, kentang goreng, gula-gula, minuman berkarbonat dan pelbagai makanan ringan lain memang amat digemari kanak-kanak. Tapi tahukan kamu bahawa tidak semua makanan ini baik untuk kesihatan? Kanak-kanak mesti dididik untuk mengelakkan makanan yang mengandungi bahan pengawet. Sebagai ibu bapa, diidklah anak-anak agar memilih makanan yang tinggi fiber, rendah lemak atau makanan yang lebih sihat seperti mengandungi kalsium, zat besi serta bervitamin dan mineral.
Sebenarnya ada banyak makanan berkhasiat untuk anak-anak. Contohnya, susu yang merupakan sumber vitamin D dan protein yang baik untuk kanak-kanak. Cuba anak-anak minum susu dua hingga empat gelas sehari. Tentu badan akan sihat dan pembesaran berlaku dengan sempurna.
Yogurt juga kaya dengan kalsium. Pilih yogurt yang kurang kandungan gula, rendah lemak dan berkultur.
Bagaimana dengan buah-buahan? Buah-buahan sangat baik untuk kesihatan badan. Ia mengandungi vitamin, fiber dan rendah kalori. Sungguhpun begitu, ramai ibu bapa tidak menyediakannya di rumah sebagai makanan ringan yang berkhasiat untuk anak-anak. Sebaliknya ramai yang lebih gemar menyimpan kerepek, keropok, biskut lemak dan pelbagai makanan ringan lain yang tidak berkhasiat. Ayuh, mulai dari sekarang, kita penuhkan peti sejuk di rumah dengan buah-buahan.
Kebanyakan kanak-kanak gemar makan roti. Jadi, ibu bapa perlu pastikan mereka menikmatinya dengan sesuatu yang enak dan berkhasiat. Contohnya, mentega kacang, berbanding mentega, krim, keju atau makanan lain yang kaya dengan lemak. Mentega kacang tinggi juga tinggi kandungan lemaknya, tetapi kebanyakan lemak tersebut adalah lemak mono dan poli tak tepu, yang lebih sihat berbanding lemak tepu.Kanak-kanak juga suka sanwic. Ibu-ibu, sediakan sanwic tuna beserta salad dan tomato segar ya.. Tuna kaya dengan protein, omega-3 serta vitamin dan mineral. Jika menggunakan mayonis, pilihlah yang rendah lemak, manakala roti pula yang berbijirin.
Untuk sarapan pagi, bijirin yang pelbagai perisa seperti coklat, madu jarang ditolak kanak-kanak. Ibu bapa hanya perlu menyediakan bijirin yang kurang manis, diperkuat dengan kalsium dan berfiber. Ramai kanak-kanak tidak suka makan sayur. Tetapi ada sayur.sayuran yang lebih digemari oleh mereka. Contohnya, jagung, karot dan kekacang.
Kanak-kanak juga sukakan biskut. Peranan ibu bapa dalam memastikan mereka makan makanan yang lebih sihat ialah menyediakan biskut yang kurang manis dan lemak. Pilihlah yang berbijirin seperti biskut oat, biji bunga matahari yang kaya dengan fiber dan zat-zat lain. Itu serba sedikit panduan untuk ibu bapa yang berkerjaya seperti saya..Kesihatan anak-anak perlu diutamakan. Semoga mereka membesar sihat dan kuat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan