Ahad, 29 Julai 2012
Terima Kasih..........
Alhamdulillah, hari ini sudah memasuki hari ke 9 umat Islam berpuasa. Insya-Allah, ada berbaki 21 hari lagi. Mudah-mudahan kita diberikan taufiq dan hidayah Allah untuk meneruskan segala amal kebaikan yang diberikan pahala berlipat kali ganda di bulan yang penuh barakah ini
.
Di pagi yang mendamaikan ini, saya ingin fokuskan kepada ucapan terima kasih atau 'thank you' yang perlu sering kita ucapkan sebagai menghargai jasa dan budi sesiapa sahaja kepada kita. Hanya dua patah perkataan sahaja yang kadang kala sukar kita nak melafazkannya.
Terima kasih boleh diucapkan dalam pelbagai cara. Ucapan lisan paling mudah. Juga boleh disampaikan melalui sms, laman sosial,dan e-mel. Boleh juga disampaikan dalam bahasa isyarat dengan menggunakan bahasa badan atau isyarat tangan contohnya mengangkat tangan sebagai ucapan terima kasih kepada pemandu kenderaan lain yang memberikan laluan kepada kita ketika di jalan raya. Ucapkanlah terima kasih kerana kita menghargai jasa baik seseorang kepada kita terutama ibu bapa dan guru-guru yang mendidik kita. Tanpa mereka siapalah kita.
Keluarga yang sentiasa mengamalkan ucapan terima kasih sesama mereka akan membawa nilai tersebut ke dalam masyarakat. Ucapan terima kasih akan memberikan kebahagiaan dan keceriaan kepada penerimanya. Ia mempunyai kuasa untuk merapatkan lagi tali silaturrahim sesama insan.
Sedangkan, ada hadis yang menekankan mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah berbudi kepada kita walaupun Islam menuntut setiap orang Islam melakukan amal kebaikan dengan ikhlas.
Dalam satu hadis riwayat Imam Tirmizi ada menyatakan:
Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia maka dia tidak berterima kasih kepada Allah.
Hadis ini, menurut pandangan Imam Tirmizi ialah hasan sahih. Maksudnya hadis ini terpakai dan kita perlu mengamalkannya.
Kenapa pentingnya ucapan ini? Fitrah manusia suka kepada penghargaan dari orang lain.. bagaimana perasaan anda apabila ada insan yang mengucapkan terima kasih? Tentunya anda terasa gembira dengan ucapan itu…
Justeru itu, ayuh kita perbaiki diri kita. Belajar untuk berterima kasih kepada orang yang berbudi kepada kita. Terima kasih.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan