SELAMAT DATANG KE BLOG GALERIA KREATIF

Jumaat, 13 Julai 2012

Pantun Buat Sahabat

Sahabat, datang dan pergi. Betulkah?
Sahabat yang sejati, mencari dan dicari. Benarkah?

Manusia memang memerlukan sahabat di sampingnya. Lebih lebih lagi sahabat yang mempunyai nilai yang berharga dalam hidupnya iaitu sahabat sejati.
Mungkin kita boleh memperincikan lagi disebalik maksud 'sahabat sejati'. Sahabat sejati bukan sahaja ada disamping kita dikala suka dan duka, tapi lebih dari itu lagi.

Sahabat sejati sentiasa mendorong kita kearahNya, tidak sesekali meninggalkan kita dikala kita terhina tetapi memberikan kita kesedaran bahawa kita ini milik Tuhan.
 
Bersyukurlah jika anda mempunyai sahabat yang betul-betul disamping anda. Sukar untuk dicari sahabat yang sebegitu. Raikan ikatan persahabatan anda. Mudah-mudahan, kurniaan Tuhan sahabat sejati kepada anda itu dapat membuatkan diri anda menjadi lebih baik dan menuju kearahNya.

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim

Tapi, bagaimana ingin mencari sahabat sejati?
 Mana satu sahabat yang dikatakan sejati.
Bagi saya, cara yang paling mudah ialah perhatikan tindak tanduknya tetapi bukan menilai hatinya kerana penilaian hati hanya Allah sahaja yang tahu. Nilaikan sifatnya, adakah pernah beliau menyakiti hati anda?
Pernahkan beliau menikam anda dari belakang.? 
Semoga kita adalah sahabat sejati bagi setiap rakan-rakan yang kita kenali.

Saya abadikan pantun ini buat sahabat walau di mana sahaja berada. 

Sahabat sejati sahabat setia,
Ikhlas bersahabat membawa berkat;
Selalu memberi nasihat berguna,
Agar selamat dunia akhirat.

Selalu memberi nasihat berguna,
Agar selamat dunia akhirat;
Buat panduan di mana berada,
Agar persahabatan membawa berkat.

Suka duka dikongsi bersama,
Hadapi cabaran dengan tenang;
Sahabat sejati berhati mulia,
Sanggup bersama susah dan senang.

(untuk sahabat-sahabat sejati sejak di MPTAA 85/88, Ana, Aya, Nitta, Gayah, Bita dan Zaidah.. anda semua 
sentiasa ada dalam ingatan dan doa)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan